Yayasan Koreksional Malaysia tingkat kemahiran banduan di penjara

Kajang – Yayasan Koreksional Malaysia (YKM) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia komited untuk terus memperkasakan banduan menerusi latihan kemahiran bagi penghuni serta kakitangan Jabatan Penjara.

Inisiatif ini selaras aspirasi yayasan itu dalam membantu bekas banduan serta Orang Bebas Berlesen (OBB) untuk mendapatkan pekerjaan selepas dibebaskan.

Exco YKM, Wan Ramzan Wan Ahmad berkata, langkah proaktif tersebut dalam membantu banduan dan bekas banduan menjadi anggota produktif dalam masyarakat, selain memberikan mereka peluang pekerjaan dan sokongan yang diperlukan untuk berjaya, sekali gus membantu kumpulan itu membina kehidupan yang lebih baik.

“Masih ada stigma masyarakat terhadap bekas banduan sehingga menyukarkan mereka menempatkan diri di dalam komuniti apatah lagi mendapatkan pekerjaan.

“Jadi, banduan akan dilatih oleh pakar dalam bidang kemahiran yang diceburi hingga mereka mahir dan menjadi tenaga kerja berkualiti. Antara latihan kemahiran yang ditawarkan seperti dalam bidang pertanian, jahitan, penternakan serta sektor perkilangan dan perladangan,”

katanya pada sidang media semasa majlis Rumah Terbuka Yayasan Koreksional Malaysia baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Yayasan Koreksional Malaysia, Datuk Sri Zulkifli Bin Omar.

Tambahnya, latihan kemahiran terutama dalam sektor perkilangan dan perladangan juga adalah usaha terbaik bagi mengurangkan kebergantungan sektor perindustrian terhadap tenaga kerja buruh asing di Malaysia.

Malah katanya, atas kesedaran itu semakin banyak majikan dalam sektor tersebut menyambut baik usaha YKM dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas banduan dalam syarikat masing-masing.

Selain itu, terdapat juga latihan dalam bidang perkhidmatan, pembuatan makanan, perikanan, perabot kayu dan fabrik tenun, songket, dan batik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *