Yayasan Koreksional Malaysia tawar kerjaya atasi masalah kesesakan dalam penjara
KAJANG, 25 April 2024 – Yayasan Koreksional Malaysia menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, hari ini, kepada umum dengan tujuan memberi pendedahan kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai matlamat dan fungsi Yayasan tersebut.
Exconya, Haji Wan Ramzan bin Wan Ahmad berkata yayasan ini bertindak dengan memberikan bantuan berupa latihan kemahiran dan akademik kepada penghuni dan kakitangan penjara.
“Latihan akan diberikan mengikut minat dan potensi mereka. Sijil Kemahiran Malaysia juga diberikan, dalam amali dan teori dan ada juga bersasar dalam bidang 3D iaitu dirty, dangerous dan difficult. Sektor ini untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja warga asing,” katanya.
Tambah beliau, produk keluaran penjara sudah pun berada di pasaran luar negara, iaitu di London dan dilancarkan semasa pameran Tenun Pahang Diraja sempena London Craft Week yang turut dihadiri oleh Raja Permaisuri Agong ke-16, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.
“Ini juga dilihat sebagai satu trademark dan kebanggaan Malaysia supaya dapat meningkatkan kualiti dan penghasilan produk”, ujar beliau.
Selain itu, Wan Ramzan berkata terdapat stigma terhadap para banduan selepas dibebaskan iaitu dipandang rendah dan turut dipinggirkan.
Justeru, melalui yayasan ini, para banduan diberi peluang kedua dalam mencari peluang pekerjaan untuk menyara keluarga mereka, sebelum dan selepas dibebaskan.
Menurut Wan Ramzan, para banduan akan dilatih oleh pakar dalam satu-satu kemahiran yang diceburi supaya hasil kerja akan menjadi lebih berkualiti.
Latihan-latihan kemahiran yang ditawarkan seperti dalam bidang pertanian, jahitan, penternakan dan tawaran kerja di kilang-kilang dalam sektor perladangan.
Selain itu, terdapat juga latihan dalam bidang perkhidmatan, pembuatan makanan, perikanan, perabot kayu dan fabrik tenun, songket, dan batik.
Antara hasil kerja yang tidak asing lagi adalah tenun Pahang, kain tenunan dengan ragam hias, motif dan teknik pembuatan yang unik dan berkualiti turut ditawarkan sebagai latihan kemahiran dalam institusi penjara.